Barangkali berita ini mungkin akan mengejutkan segelintir peminat Azwan Ali. Begitu juga di kalangan mereka yang tidak begitu menggemari pengacara yang cukup sensasi serta laser ini. Namun, hakikatnya Azwan sudah tekad untuk berhenti daripada meneruskan tulisannya di dalam blognya:http://silaserazwanali.blogspot.com/.
Apakah sebabnya? Mengapa Azwan tiba-tiba mengambil keputusan yang boleh disifatkan sebagai cukup drastik itu? Lebih-lebih lagi bila keputusan itu dibuat pada saat dia masih lagi mengerjakan umrah selama 15 hari di bumi Mekah sejak dia menjejakkan kaki di Tanah Suci Allah itu pada 30 September 2010 yang lalu.
Dan, Azwan telah mengumumkannya di dalam blognya sendiri pada tanggal 10 September 2010. Seperti yang dijangka ia mendapat pelbagai reaksi dan maklum balas daripada pelbagai pihak yang sentiasa mengikuti perkembangan blognya selama ini.
Kata Azwan, keputusannya itu bersara itu mula muncul di benaknya sewaktu dia melalui Safa dan Marwah untuk melunaskan Sa'ai.
"Di situ tiba-tiba ada suara yang berrdentum kuat menyapa di telinga saya. Meminta saya untuk berhenti menulis di blog saya. Saya tidak pasti suara itu datang dari mana dan dari siapa.
"Mungkin juga suara dari malaikat kerana apa saja mampu berlaku di bumi Allah. Tetapi, suara itu memang sangat jelas sekali meminta saya untuk berbuat demikian dengan serta-merta.
"Waktu melakukan 7 pusingan Sa'ai itu, Tuhan saya yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Perasaan saya bercampur baur. Setengah jam saya termenung di satu sudut memikirkan dengan suara yang saya dengar itu.
"Saya juga tertanya dari mana datangnya suara itu dan mengapa ia datang pada saat saya sedang melakukan ibadat di Sa'ai? Tapi, saya tahu akan ada hikmahh yang terkandung di sebalik apa yang berlaku.
"Sebagai hamba Allah, saya tidak punya pilihan. Kalau ianya datang dari kehendak Tuhan, maka saya harus turuti. Kalau saya tidak turuti, saya tidak tahu barangkali petaka apa yang akan datang menimpa saya nanti.
"Atas sebab itu, saya nafikan kalau ada yang menganggap keputusan ini dibuat kerana desakan atau tekanan luar. Tolonglah. Tuduhan itu sama sekali tidak berasas dan tidak boleh saya terima. Kerana siapalah kita untuk melawan kehendak Tuhan?," jelasnya dengan suara yang cuba menahan sebak.
Cerita Azwan lagi, sewaktu menyempurnakan ibadat di Masjid Kucing yang berhampiranb dengan Masjidil Haram iaitu salah satu masjid yang menjadi kesayangan Nabi SAW, dia telah menulis sebuah mesej yang sederhana panjang.
"Mesej itu saya karang pada awal SUbuh pagi yang mana ia adalah untuk memaklumkan kepada pengikut-pengikut blog saya bahawa saya akan bersara dari blog saya dengan serta-merta.
"Mesej itu kemudian saya hantar kepada seorang rakan iaitu Jamil yang juga kakitangan di Astro dan memintanya membantu saya untuk memuat naikkan mesej tersebut di dalam blog saya dengan segera.
"Mesej itu juga adalah mesej terakhir yang saya tulis di dalam blog saya. Selepas ini saya tidak akan tulis apa-apa lagi kerana keputusan yang saya buat untuk bersara ini adalah muktamad. Kalau pun ada selepas ini, hanyalah gambar-gambar saya di Mekah yang saya upload di dalam blog ini," katanya.
Sambung Azwan lagi, berat sebenarnya baginya untuk membuat keputusan ini terutama apabila menulis sudah menjadi sebahagian daripada caranya untuk berkarya dan meluahkan apa saja perkara menerusi sudut pandangan serta pemikirannya sendiri.
"Tapi, seperti yang saya katakan tadi, siapalah kita untuk melawan kehendak Tuhan. Saya juga masih memikirkan sama ada perlu atau tidak saya menghentikan Twitter saya. Tapi, ada yang kata, tidak perlulah sampai Twitter pun saya nak hentikan.
"Sebab, setidak-tidaknya dapat juga sayagunakan twitter tersebut memberitahu hal-hal berkaitan dengan perkembangan diri saya. Alhamdulillah sejak awal tahun beroperasi, twitter saya sudah pun mempunyai 4,00 pengikut," katanya.
Di kesempatan ini kata Azwan, dia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kalangan peminat sentiasa mengikuti serta memberikan sokongan terhadap blognya.
"Apa yang membanggakan diri saya, walaupun dicaci maki, namun blog saya tetap mempunyai pengikut yang besar dan sebab kenapa saya mahu menulis blog adalah untuk memperbetulkan orang Melayu kita.
"Tapi, hikmah yang saya dapat, who are you untuk perbetulkan semua itu. Biarkan... Sebab, Allah sendiri yang akan uruskan semua hal-hal-hal itu," katanya dengan mata yang bergenang.-murai.com-