KUALA LUMPUR – Pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia kelmarin mendapat sokongan daripada persatuan pengguna yang rata-rata berpendapat ia dapat membantu orang ramai berjimat cermat dalam perbelanjaan harian mereka.
Menurut mereka, kewujudan kedai itu dilihat mampu menangani masalah penipuan yang dilakukan segelintir peniaga untuk mengaut untung berlebihan.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, harga jualan yang murah di Kedai Rakyat 1Malaysia boleh dijadikan kayu pengukur sejauh mana peniaga mengambil kesempatan pada saat pelbagai krisis harga barang yang timbul sekarang sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.
“Dengan wujudnya kedai seperti ini, pengguna mempunyai alternatif ketika membeli barangan keperluan asas pada harga lebih murah tetapi berkualiti.
“Tidak dapat dinafikan kedai berkonsepkan mesra rakyat ini mempunyai pelbagai implikasi positif terhadap rakyat serta ekonomi setempat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Yusof berharap masalah kenaikan harga barang yang semakin menular dapat ditangani dengan pembukaan kedai berkenaan.
Beliau mengulas pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stesen LRT Kelana Jaya kelmarin.
0 comments:
Post a Comment